Perihal Burung Walit


Semenanjung Malaysia mempunyai 28 spesies burung layang-layang atau ‘swift’ yang tergolong di bawah keluarga Apopidae. Tiga daripada spesies layang-layang ini menghasilkan sarang yang terbentuk daripada air liur iaitu Layang-Layang Gua (Aerodramus fuciphagus), Layang-layang Sarang Hitam (Aerodramus maxima) dan Layang-layang Padi (Collocia esculenta). Walaubagaimanapun hanya sarang daripada dua spesies iaitu Layang-Layang Gua (Aerodramus fuciphagus) dan Layang-layang Sarang Hitam (Aerodramus maxima) dikomersilkan. Kedua-dua spesies ini membuat sarang menggunakan air liurnya yang mengandungi khasiat tinggi dan dikomersilkan sebagai makanan berkhasiat dan ia boleh dijumpai di kawasan terbuka seperti hutan, paya bakau, persisiran pantai dan kawasan tanah pamah sehingga paras ketinggian 1900m dari aras laut.

Layang-Layang Gua (Aerodramus fuciphagus) yang juga dikenali sebagai walet membuat saranya menggunakan air liur sepenuhnya manakala Layang-layang Sarang Hitam (Aerodramus maxima) membuat sarangnya menggunakan air liur yang bercampur dengan bulu-bulu burung. Kebiasaanya burung ini mengambil masa sebulan bagi menyiapkan sarang. Pembentukkan sarang dipengaruhi oleh musim (panas/sejuk) serta pemakanannya. Suhu persekitaran sangat mempengaruhi kualiti sarang burung di mana suhu yang tinggi kadar kelembapan rendah akan menyebabkan sarang mudah jatuh kerana terlalu kering. Manakala suhu yang rendah kadar kelembapan yang tinggi menyebabkan sarang menjadi lembap dan mudah dijangkiti kulat.

Layang-Layang Gua (Aerodramus fuciphagus)  berkebolehan berekolokasi iaitu menggunakan pantulan gema ketika terbang di dalam suasana yang gelap. Segala aktiviti seperti makan, minum dan mengawan dilakukan di udara. Makanannya adalah serangga yang terbang seperti kelkatu, kumbang kecil, lalat, tebuan dan lain-lain. Kakinya yang lemah menyebabkan ia tidak dapat hinggap pada ranting-ranting kayu atau wayar elektrik. Namun, ia masih mampu untuk bergantung pada sarangnya.

Layang-Layang Gua (Aerodramus fuciphagus) telah disenaraikan sebagai spesies burung yang dilindungi sepenuhnya dibawah Akta Perlindungi Hidupan Liar No. 76 Tahun 1972. Walaubagaimanapun,  status perlindungan spesies ini dikaji semula pada tahun 2003 dan menjadi spesies burung yang diperlindungi. Ini merupakan salah satu langkah Jabatan PERHILITAN memberi peluang kepada orang awam menjalankan perusahaan rumah burung layang-layang di mana ia membantu meningkatkan populasi burung ini. Lesen untuk mengambil dan menjual sarang burung layang-layang (KPM26A) akan dikeluarkan  oleh pihak Jabatan PERHILITAN setelah pembinaan rumah burung layang-layang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).